Ujian dan Dugaan Tanda Kasih Sayang Allah SWT

Setiap manusia yang hidup atas muka bumi Allah swt ini tak lepas dari ujian dan dugaan dari Nya. Baik kecik atau pun besar, semua ujian yang dihadapi bukan lah untuk membuat manusia merasa sedih dan kecewa. Bahkan ia adalah tanda kasih saying Allah swt kepada hambaNya yang soleh.

Setahun kebelakang sejak awal 2020, di mana bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Negara Malaysia, satu per satu ujian besar diturunkan. Ramai orang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, hidup dalam kesempitan, tiada makanan untuk dihidang pada keluarga. Sedihnya rasa hanya Allah saja yang tahu.

Awal tahun 2021 pula, semasa kes covid-19 masih lagi mencanak naik, musim tengkujuh pula memberi salam. Ketika naskhah ini ditulis, ribuan penduduk di negeri Pantai Timur termasuk Johor sedang bergelut dengan banjir kilat. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Menurut kawan-kawan yang tinggal di sana, banjir kali ini lebih teruk dari tahun sebelumnya dan kawasan yang tak pernah dinaiki air pun turut sama banjir.

Melihat rumah-rumah yang ditenggelami air hingga paras bumbung, kenderaan hanyut dibawa air, barang peralatan rumah semua rosak, ada yang menunggu untuk diselamatkan gara-gara air naik terlalu cepat, Allahuakbar. Besar sungguh ujianMu.

Namun sebesar mana pun ujian dan dugaan yang dikirim untukmu, yakinlah bahawa ianya sememangnya Allah izin untuk kita melaluinya. Berbalik lah semula pada Dia Yang Maha Kuasa kerana kita hanya hamba. Tiada upaya untuk kita melakukan apa-apa tanpa pertolongan Nya. Sesungguhnya ujian dan dugaan adalah tanda kasih sayang Allah pada kita.

Pada waktu kita lemah tidak berdaya dan buntu ini, kepada siapa lagi kita ingin mengadu nasib dan bergantung harap jika bukan Allah Yang Maha Esa? Yakin dan percayalah bahawa setiap apa yang Allah izinkan berlaku pasti punya hikmah besar yang tersembunyi. Semoga Allah merahmati dan mengurniakan kekuatan yang luarbiasa buat kita semua. Amiin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge